KEM SMART SOLAT 2017

KEM SMART SOLAT 2017
KEM SMART SOLAT

AKTIVITI KAMI JUGA BOLEH DILAYARI MELALUI FACEBOOK - WARGA TAMAN UTAMA


Rabu, Oktober 28, 2009

TAHNIAH ULANGTAHUN PERTAMA AKHBAR SINAR DI KEDAH.

Tahniah kepada Sinar kerana genap setahun beroperasi di Kedah. Teruskan kecemerlangan dengan berita dan paparan yang diketengahkan. Kekalkan etika dan nilai kewartawanan.

Penghargaan kerana mengadakan ruangan untuk komuniti. Perhebatkan berita komuniti terutama kegiatan NGO seperti Rukun Tetangga yang merupakan NGO terbesar di Malaysia.

Tahniah kerana telah mempunyai pejabat sendiri yang tersergam indah! Syabas kerana jika dahulunya ramai pemberitanya sering menumpang pejabat dan agensi kerajaan untuk menerbitkan berita kini telah berjaya dan selesa di pejabat sendiri. Semoga dengan adanya pejabat yang cantik dan ceria ini akan menambahkan lagi semangat dan efisyen dalam menerbitkan berita yang terkini dan berkualiti.
Tahniah dan syabas buat semua kakitangan Sinar di Kedah terutama Kawasan Alor Setar.

Ikhlas daripada :


Yahya b. Abd Raof
Setiausaha
Kawasan Rukun Tetangga Taman Utama
Jalan Gangsa, Mergong 05150 Alor Setar

RUKUN TETANGGA DALAM AKHBAR.

Selain mengadakan aktiviti kemasyarakatan di Taman Utama, Setiausaha KRT Taman Utama juga telah mengadakan suatu projek keratan akhbar mengenai perpaduan dan Rukun Tetangga. Pelbagai artikel atau berita berkaitan Rukun Tetangga yang diterbitkan dalam akhbar harian akan dipotong dan dikumpulkan dalam suatu fail.

Tugasan ini menjadi mudah kerana bidang kerja Setiausaha sendiri yang bertugas di Bahagian Rujukan Perpustakaan Awam Kedah, yang memang melakukan kerja-kerja bercorak sedemikian. Sebanyak 7 jenis akhbar akan dibaca dan disunting beritanya oleh beliau. Akhbar-akhbar yang disemak setiap hari ialah Sinar, Berita harian, Harian Metro, Utusan Malaysia, Kosmo, New Straits Times dan The Star. Akhbar yang sering menyiarkan berita aktiviti Rukun Tetangga dahulunya ialah The Star, Harian Metro dan Berita Harian. Kini akhbar yang paling aktif menyiarkan berita mengenai Rukun Tetangga ialah Sinar.

Justeru itu tidak hairanlah jika pihak Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional Malaysia, sering memberikan penghargaan tahunan pada akhbar ini kerana peranan Sinar yang boleh dikatakan setiap hari akan menyiarkan berita mengenai Rukun Tetangga samada di kawasan utara ataupun seluruh Malaysia. Rukun Tetangga Taman Utama sendiri sehingga kini sudah 4 kali berita mengenai aktivitinya disiarkan dalam akhbar Sinar dan Harian Metro. Dan kepada individu yang berminat untuk melihat atau membuat kajian mengenai Rukun Tetangga yang telah disiarkan dalam akhbar, bolehlah menghubungi Setiausaha KRT Taman Utama.

Kepada pihak media, terima kasih atas sokongan dan liputan anda terhadap NGO yang terbesar di Malaysia ini. Kepada Maria Uffa di Sinar, terima kasih daun keladi........
Setiap berita mengenai Rukun Tetangga akan dipotong, ditampal ke atas borang khas dan dimasukan kedalam fail Keratan Akhbar.
Fail Keratan Akhbar yang disimpan bersama lain-lain fail.

KELAS AGAMA JIRAN WANITA.

Pada 28.10.2009, kelas Fardu Ain Jiran Wanita yang diadakan pada setiap hari Rabu mulai jam 5.30 petang diteruskan seperti biasa. Pada hari ini kelas diadakan di rumah Setiausaha kerana tuan punya Homestay tempat selalu diadakan kelas tiada dirumah.
Kelas diadakan dalam keadaan hujan. Walaupun demikian kehadiran Jiran Wanita tetap memberangsangkan. Selepas tamat kelas pada jam 6.45 petang salah seorang penduduk iatu bekas AJK KRT Taman Utama sessi 2006 - 2008, Puan Fauziah bt. Abdul Majid telah mengadakan sedikit jamuan ringan. Suasana agak riuh apabila isu penemuan sebentuk cincin berlian dalam menu Jamuan Hari Raya yang diadakan pada 16 Julai 2009 lalu menjadi topik bualan dikalangan yang hadir.
Jiran Wanita sedang menjamu selera... sodapla karipap Kak Zie buat ...
Jiran Wanita sedang khusyuk mengikuti kelas...

Tuan Haji Mahmud, yang mesra dipanggil Pak Ngah sedang menyampaikan kuliah...

Sebahagian daripada Jiran Wanita yang hadir... yang kotak putih berlabel hijau di atas meja tu ialah kotak sumbangan wang derma daripada Jiran Wanita yang hadir mengikuti kelas..

Isnin, Oktober 19, 2009

JAMUAN HARI RAYA AIDILFITRI 2009

Tarikh : Jumaat, 16 Oktober 2009.
Masa : 8.30 malam.
Tempat : Perkarangan SMZ Homestay, Taman Utama.
Tetamu : Pn. Suria bt. Baharom, Timbalan Pengarah JPNIN Kedah, Pn. Noorassemah bt. Abdullah, Pegawai Perpaduan Daerah Kota Setar/Padang Terap.
Menu : Lontong, Nasi Himpit, Bihun Goreng, Ketupat, Lemang, Air Orange & Ais Cream.
Alhamdulillah program ini mendapat sambutan hebat daripada penduduk Taman Utama. Lebih dari 400 orang penduduk telah hadir, bahkan terdapat sebahagian penduduk yang turut menyumbangkan wang ringgit ( berjumlah RM515.00) bagi menampung peruntukkan wang KRT. Majlis telah diserikan lagi dengan kehadiran Pn. Suria bt. Baharom, Timbalan Pengarah JPNIN Kedah dan Pn. Noorassemah bt. Abdullah, Pegawai Perpaduan Daewrah Kota Setar/Padang Terap.
Turut diadakan ialah 24 cabutan bertuah berupa barangab keperluan dapur seperrti beras, minyak masak, sabun pencuci, roti dan sebagainya. Acara menjadi lebih meriah apabila pemenang cabutan bertuah akan ditemuramah oleh Setiausaha KRT Taman Utama selaku pengacara majlis dengan soalan-soalan berkisar peribadi, rumahtangga dan peranan Rukun Tetangga Taman Utama.
Pn. Suria bt. Baharom sedang menyampaikan ucapan.
Penerima cabutan bertuah sedang "diusik" oleh Setiausaha KRT Taman Utama.
Anak Setiausaha turut terkena usikan dan meminta anaknya menyampaikan lagu raya apabila turut menerima cabutan bertuah. Cabutan tersebut sehingga kini disimpan terus oleh anaknya tanpa membenarkan ibunya menggunakan barangan pencuci pinggan tersebut !
Pn. Khalijah bt. Awang (Mak Lang) menjadi penerima pertama cabutan bertuah yang disampaikan oleh Pn. Suria.
Penduduk sedang manikmati lontong.
Pak Mat penjual ais cream panik apabila diserbu oleh Jiran Muda dan Tunas Jiran. Jiran Usia Emas pun turut tumpang sekaki !!!
Yang dalam pinggan tu ialah bihun goreng yang ditop up udang di atasnya !!
Pn. Suria dan Pn. Noorassemah amat tergoda dengan lontong yang dimasak sendiri oleh Jiran Wanita KRT Taman Utama... Tahun depan mai lagi noooo !
Haa.. tu diaa chef lontong sedang taruk minyak... steadylah Kak Ros !! ( macam nama kakak Upin dan Ipin la pulakkk ! )
Jiran Wanita sedang membalut ketupat pulut sehari sebelum jamuan.

Jiran Muda turut membantu memasang khemah ! Caya lah !!!

Ahad, Oktober 18, 2009

PROGRAM "GERAKAN BERKITAR" SATU MALAYSIA, SATU HATI, MEMELIHARA ALAM SEKITAR.

Tarikh : Jumaat, 16 Oktober 2009.
Masa : 9.30 pagi - 5.00 petang.
Tempat : Kompleks Star Parade, Alor Setar.
Perasmian : YB. Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.
KRT Taman Utama telah menerima jemputan daripada JPNIN Daerah Kota Setar/Padang Terap untuk menghadiri majlis ini. Setiausaha KRT Taman Utama telah hadir bagi memenuhi undangan.
Program telah diadakan diperkarangan Kompleks Star Parade yang dipenuhi dengan acara seperti pameran oleh agensi yang berkaitan alam sekitar, pertandingan mewarna dan cabutan bertuah.Turut menyertai pameran di booth yang disediakan ialah JPNIN Negeri Kedah yang diketuai oleh En. Mohd Yusof b. Daud.
Setiausaha KRT Taman Utama bersama kakitangan JPNIN Kedah, iaitu En. Mohd Yusof, En. Saad dan En. Sobri di booth pameran.

YB. Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.

Isnin, Oktober 12, 2009

LAWATAN INTEGRASI NASIONAL - PESTA GAWAI DAYAK.

Saya telah diberikan peluang oleh JPNIN Negeri Kedah mengikuti program ini pada 14 - 18 Jun 2008 bersama 4 orang lagi jawatankuasa KRT Negeri Kedah. Amat mengujakan mendapat peluang seperti ini apatah lagi menjengah ke Bumi Kenyalang yang tidak pernah kesampaian sebelum ini. Jika tahun-tahun sebelum ini peserta program integrasi ini hanya dibawa ke sekitar Bandaraya Kuching sahaja,namun pada tahun 2008, kami amat bertuah kerana telah dibawa ke daerah yang pedalaman di Sarawak, iaitu Bahagian Kapit.
Perjalanan memang letih dan memenatkan apa ke tidaknya, daripada Kuala Lumpur ke Kuching, Kuching ke Sibu dan dari Sibu ke Kapit yang menggunakan kapal terbang, bas dan bot sudah mengambil masa hampir satu hari! Tetapi semuanya itu hilang begitu sahaja apabila menerima sambutan dan layanan yang 1st class dari masyarakat tempatan di sana.
Pengalaman bersama keluarga angkat Melayu dan Iban di rumah panjang amat mengujakan dan akan dikenang hingga ke mati. Segala sangkaan buruk dan negetif selama ini yang bersarang disanubari peserta dapat dihakis dan ditepis apabila menyertai lawatan ini. Pelbagai pengalaman dan pendedahan mengenai adat resam masyarakat, kebudayaan dan cara hidup penduduk dapat diterokai dan dialami sendiri oleh peserta.
Terima kasih kepada JPNIN Malaysia dan JPNIN Kedah dan JPNIN Sarawak. Bumi Kenyalang kini mengamit memori!!!!
Peserta daripada Kedah.
Bersama keluarga angkat kaum Iban.
Berkaraoke dengan Pengarah JPNIN Sarawak di Malam Segulai Sejalai.
Tarian Ngajat oleh Bapa Angkat.
Bersama peserta Ratu Kumang Rumah Panjang.
Kenangan bersama bapa angkat Rumah Panjang Emak anak Libau.
Signboard Rumah Panjang.
Gambar kenangan bersama keluarga angkat di Lot 1735, Kg. Muhibbah dalam KRT Bleteh, Daerah Kapit. Alhamdulillah silatulrahim dengan mereka masih berterusan sehingga kini...
Bersama adik dalam keluarga angkat selepas acara sukaneka di Padang Majlis Daerah Kapit. Macam Hulk Hogan daaa!!
Tarian Poco-poco bersama keluarga angkat. Cukup terhibur apabila semua ahli keluarga tanpa mengira usia menyertai tarian ini. Sehingga kini CD lagu tersebut telah saya hafal dan berulang kali saya mainkan untuk memori peristiwa ini.
Bersama Residen Bahagian Kapit, Hang Tuah Merawin. Sapa kata Hang Tuah dah mati? Kalau nak tengok pergi ke Kapit !!!
Semuanya ini tinggal kenangan......
Peserta Lawatan Integrasi Nasional Pesta Gawai Dayak 2008 di Lapangan Terbang Sibu. Waktu ini riuh macam market !!!!

Kedatangan peserta disambut oleh kakitangan JPNIN Negeri Sarawak di Lapangan Terbang Kuching, Sarawak.

Isnin, Oktober 05, 2009

MALAM LAILATUL-QADAR?


Hingga ke hari ini, barisan AJK KRT Taman Utama sedang rancak membuat persiapan dan persediaan untuk Jamuan Hari Raya Aidilfitri pada 16 Oktober nanti. Sementara menantikan tarikh itu saya ketengahkan dalam blog ini gambar yang diperolehi daripada e-mail yang diterima oleh saya berkaitan ibadat yang kita lakukan pada bulan Ramadhan yang lalu.

Gambar ini berjaya dirakamkan oleh individu tanpa menyedari terdapat suatu objek di atas Kaabah di bulan Ramadhan tahun 2008 lalu. Apabila melihat gambar ini saya teringat suatu kisah yang pernah diceritakan kepada saya oleh bekas Imam Besar Masjid Zahir, Allahyarham Tuan Haji Ishak pada tahun 8o'an. Sewaktu menyampaikan kuliah mingguannya, beliau menyatakan bahawa, beliau telah diberi peluang oleh ALLAH TAALA melihat Lailatul-Qadar sewaktu mengerjakan umrah pada bulan Ramadhan di Mekah. Semasa melakukan Tawaf, beliau telah melihat kelibat objek seperti burung dan bersayap turun ke atas Kaabah. Apa yang dilihatnya itu tidak mampu beliau cerita dan gambarkan dan begitu menakjubkan mata yang melihat.

Apabila menatap gambar e-mail yang diterima ini, saya lantas teringat kembali apa yang pernah Allahyarham ceritakan kepada saya dan jemaah yang mendengar cerita beliau itu.
SURAH AL-QADR :
"Dengan menyebut nama ALLah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang"
"Sesungguhnya, Kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam kemuliaan.
Tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu?
Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.
Pada malam itu, turun Malaikat-malaikat dan Malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan.
Malam itu penuh kesejahteraan sampai terbit fajar."

Semoga kita semua mendapat Lailatul-Qadar pada setiap kali menyambut Ramadhan! Amin......

Sabtu, Oktober 03, 2009

SEJADAH BERDIRI.

Sengaja saya paparkan gambar yang saya ambil dari blog favourite untuk dijadikan renungan dan santapan mata. Peristiwa ini berlaku pada beberapa hari yang lalu di Taman Haji Mohd Amin, Permatang Pauh.
Lihatlah kedudukan sejadah seperti orang yang sedang sembahyang di rakaat terakhir ini......

Khamis, Oktober 01, 2009

KELAS KOMPUTER UNTUK KOMUNITI RUKUN TETANGGA.

Tawaran untuk semua Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga dalam Negeri Kedah Darul Aman. Sekiranya anda, Ahli Jawatankuasa, ahli Jiran Wanita, ahli Jiran Usia Emas dan ahli Jiran Muda tanpa mengira jantina, umur, kaum dan agama berminat untuk menyertai kelas komputer di Perpustakaan Awam Kedah, sila hubungi saya di talian 019-4426884 atau terus kepada Bahagian Multimedia Perpustakaan Awam Kedah di talian 04-7333592 ( Pn. Norilsyahirah - 019-6134202 )

Kursus dan latihan adalah PERCUMA!!! Sijil akan diberikan. Setiap sessi terhad kepada 8 orang sahaja. Dok tunggu apa lagiii.........
Blog Widget by LinkWithin