KEM SMART SOLAT 2017

KEM SMART SOLAT 2017
KEM SMART SOLAT

AKTIVITI KAMI JUGA BOLEH DILAYARI MELALUI FACEBOOK - WARGA TAMAN UTAMA


Selasa, Mac 19, 2013

** PROGRAM PEMANTAPAN JIRAN MUDA **


Bagi tahun 2013, pihak JPNIN Negeri Kedah telah mensasarkan aktiviti untuk golongan Jiran Muda diperkasakan oleh semua KRT seluruh Negeri Kedah. KRT Taman Utama sebenarnya sering menganjurkan pelbagai aktiviti untuk golongan sasar ini pada saban tahun. Antara program yang telah dijalankan ialah Kem Solat, Kem Komuniti River Ranger, Kem Remaja 1 Malaysia, ceramah motivasi, pertandingan Futsal dan sebagainya.

Bagi tahun 2013, program untuk golongan ini bermula pada hari Selasa, 19.3.2013 dengan mengadakan Program Pemantapan Tunas Jiran dan Jiran Muda. Program yang sepatutnya diadakan pada penghujung bulan Mac 2013 sempena cuti sekolah terpaksa dipercepatkan tarikhnya. Ini disebabkan KRT Taman Utama mendapat dana kewangan daripada Tuan Haji Mat Radzuan b. Ibrahim, Pengerusi Jiran Usia Emas untuk membiayai program ini, namun kerana pada penghujung bulan Mac ini beliau bersama keluarganya akan berangkat menunaikan umrah, maka tarikhnya telah dipinda untuk membolehkan beliau turut serta dalam program.

Terdapat risikonya apabila tarikh dipinda kerana tidak ramai golongan sasar ini hadir kerana hari persekolahan yang kebetulan jatuh pada hari aktiviti kokurikulum diadakan disekolah. Hanya sekitar 40 orang Tunas Jiran sahaja yang datang tepat pada masa yang ditetapkan iaitu jam 5.30 petang, manakala golongan Jiran Muda hanya datang kira-kira jam 6.30 petang sahaja iaitu sebaik saja tamat aktiviti kokurikulum mereka disekolah.

Tuan Imam sedang menyampaikan tazkirah. Antara lain yang disampaikan kepada golongan sasar ini ialah penekanan kepada kepentingan mengimbangi masa untuk bermain, belajar dan beribadat serta peranan sebagai seorang anak ke atas kedua ibubapa, jiran dan masyarakat.

Mengikut jadual asal, pengisian program ini ialah, semua peserta akan berkumpul mulai jam 5.30 petang untuk menyertai pelbagai pertandingan sukan yang telah disusun aturkan untuk mereka. Program akan dimulakan dengan sessi tazkirah khas daripada Imam Masjid Seberang Pumpong, Tuan Haji Ismail b. Haji Sulaiman kepada peserta, diikuti dengan penyerahan set alatan permainan kepada mereka. Seterusnya peserta akan beradu kebolehan mereka dalam pertandingan bolasepak, bola baling, congkak, bola jaring, batu seremban, dart dan karom. Kesemua pertandingan ini akan dijalankan sehari suntuk.

Antara Jiran Muda yang hadir.

Namun disebabkan pertukaran tarikh dan kekangan masa, maka hanya pertandingan bolasepak sahaja yang dapat dijalankan, itupun hanya secara persahabatan diantara Jiran Muda menentang AJK KRT Taman Utama dan Peronda SRS Taman Utama. Keputusannya Jiran Muda menang 6 - 3.

Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat terutama kepada Tuan Haji Mat Radzuan b. Ibrahim yang membiayai keseluruhan program. Begitu juga kepada Jiran Wanita yang bertungkus lumus menyediakan makanan kepada peserta serta barisan AJK dan Peronda SRS KRT Taman Utama yang berpeluh menyiapkan pelbagai gelanggang pertandingan.

Ucapan Pengerusi KRT Taman Utama
Penyerahan bolasepak kepada Jiran Muda lelaki.
Bola jaring kepada Tunas Jiran perempuan.
Permainan congkak.

Pengerusi sedang melayani Tuan Imam menjamu selera.
Pendaftaran memilih acara sukan yang diminati
Tuan Imam melakukan kick off bagi acara futsal padang. Dalam Islam, aktiviti riadah tidak dipinggirkan bahkan Nabi Muhammad SAW juga melakukan aktiviti riadah seperti menunggang kuda dan memanah. Steady lah Tuan Imam ..... ada gaya dan skill tu ....
Antara Jiran Muda yang hadir menyaksikan acara yang dijalankan.
Dr. Ahmad Fauzey, pakar tulang daripada Hospital Sultanah Bahiyah sedang memperagakan skill beliau kepada Jiran Muda.
Ketua Peronda SRS menunjukan skill menimbang bola.

En. Abdull Raof, Pegawai Penyiasat PDRM masih gah bertahan dengan stamina beliau.
Sebahagian penduduk yang turut hadir memberikan sokongan.



En. Zainul Sidik, AJK KRT Taman Utama sedang asyik menyaksikan perlawanan.



Sabtu, Mac 16, 2013

** MESYUARAT JAWATANKUASA KALI KE 3 / 2013 **


Mesyuarat kali ke 3 bagi tahun 2013 ini telah diadakan pada hari Jumaat, 15 Mac 2013 bertempat di Pusat Rukun Tetangga Taman Utama mulai jam 9.30 malam. Mesyuarat dimulakan oleh Pengerusi dengan meminta semua AJK bersama membaca surah Al-Fatehah untuk dihadiahkan kepada para pejuang negara yang telah gugur sewaktu mempertahankan kedaulatan negara dalam Ops Daulat di Lahad Datu.

Mesyuarat telah membincangkan dua perkara iaitu Program Santai Jiran Muda bersama Tuan Imam Masjid Seberang Pumpong pada 19 Mac 2013 nanti. Dalam perancangan program yang berkonsepkan santai oleh Ustaz Azhar Idrus ini, semua Jiran Muda akan berkumpul di padang permainan Taman Utama mulai jam 5.30 petang untuk mendengar tazkirah khas oleh Tuan Imam diikuti penyerahan bola sepak, bola takraw, bola tampar dan bola jaring kepada Jiran Muda. Seterusnya sessi perlawanan persahabatan antara Jiran Muda menentang Jawatankuasa KRT dan Peronda SRS Taman Utama akan dilangsungkan.

Program ke dua yang akan dijalankan ialah Perkelahan Amal pada 30 Mac 2013. Perkelahan keluarga ini akan diadakan di Tapak Perkelahan Dan Rekreasi Sungai Tupah, Merbok sempena cuti persekolahan pada akhir bulan Mac 2013 nanti.

Selain berkelah bersama ahli keluarga, penduduk Taman Utama juga akan bergotong royong bersama pihak Jabatan Hutan Negeri Kedah dan Jabatan Pengairan Dan Saliran Negeri Kedah yang telah dihubungi oleh Pengerusi KRT Taman Utama bagi membersihkan kawasan sekitar tapak perkelahan yang akan dikenalpasti nanti. Sehubungan dengan itu, semua penduduk yang berminat menyertai program ini bolehlah memaklumkan kepada Pengerusi atau Setiausaha sebelum 25 Mac 2013 nanti.

Tuan Haji Jusoh, Timbalan Pengerusi sedang mengisi senarai rekod kehadiran mesyuarat.
En. Mohd Fadzil sedang mengisi borang kaji selidik kajian kepuasan pelanggan JPNIN Negeri Kedah. Manakala dibelakang beliau beberapa orang AJK sedang menjamu selera mee goreng, mee maggi dan maggi goreng.
Sessi mengupas buah mempelam dan buah asam jawa untuk "mencicah garam belacan" diakhir mesyuarat.

Rabu, Mac 06, 2013

** KELAS AGAMA JIRAN WANITA **


Kelas agama ini masih berterusan dianjurkan untuk Jiran Wanita. Kelas secara mingguan ini masih dibimbing oleh Tuan Haji Mahmod b. Haji Hussain dan dilangsungkan pada setiap petang Rabu mulai jam 5.30 petang dan berakhir 1 1/2 jam kemudian.

Semua Jiran Wanita yang masih belum menyertai adalah dijemput untuk turut serta.



Isnin, Februari 25, 2013

** LAWATAN AUDIT DARI PUTRAJAYA **


Pada 25 Februari 2013, KRT Taman Utama telah dikunjungi oleh seramai 3 orang kakitangan daripada pejabat Jabatan Perdana Menteri, PutraJaya bagi mengaudit dan membuat semakan perkakasan komputer yang telah diberikan oleh pihak JPNIN kepada KRT Taman Utama. Mereka ialah Pn. Siti Habsah bt. Ahmad dan Pn. Suhana bt. Ramly dari Bahagian Teknologi Maklumat serta Pn. Mazni dari Bahagian Audit

Mengiringi mereka ialah Pn. Asmarina bt. Abu Mansor dan En. Mohd Yusof b. Daud daripada JPNIN Negeri Kedah. Turut serta ialah Pn. Noorassemah bt. Abdullah, Pegawai Perpaduan Daerah Kota Setar / Padang Terap / Pokok Sena serta kakitangannya YM Ku Aziz b. Ku Mat Esa, En. Abdul Halim b. Alwi dan Pn. Hafiza bt. Mohamed.

Auditan adalah berkisarkan kepada penggunaan peralatan tersebut serta maklum balas sistem e-RT yang telah diperkenalkan untuk semua KRT dalam Malaysia. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan mencapai matlamat dan tujuan lawatan mereka.


Pemeriksan sistem dan perkaksan komputer sedang dijalankan.
Semakan dokumen dan fail yang berkaitan.
Sessi kaji selidik sistem e-RT dengan Pengerusi KRT Taman Utama.





Sabtu, Februari 23, 2013

** CERAMAH AGAMA MAULIDUR RASUL 1434H **


Sambutan Maulidur Rasul 1434H amat istimewa bagi KRT Taman Utama kerana berjaya menganjurkan 2 program. Program yang pertama ialah pada 24 Januari 2013 apabila menyertai perarakan berselawat, manakala pada 21 Februari 2013 pula diadakan ceramah agama.

Ceramah adalah anjuran Biro Jiran Wanita yang mengundang Y. Bhg Ustazah Faridah bt. Haji Ahmad, Pegawai Penyelidik di Pejabat Mufti Negeri Kedah untuk menyampaikan ceramah beliau. Jika selama ini suaranya hanya dapat didengari melalui corong radio Kedah FM sahaja, kini wajahnya pula dapat ditatapi oleh warga Taman Utama apabila beliau sudi meluangkan masa datang ke Taman Utama. 

Majlis yang bermula pada jam 9.15 malam ini dimulai dengan segmen selawat beramai-ramai ke atas Nabi Muhammad SAW yang diketuai oleh pelajar kelas pengajian Al-Quran dibawah bimbingan Pengerusi Jiran Wanita iaitu, Puan Ustazah Rogayah bt. Ramli. 

Hampir 200 orang penduduk menghadiri ceramah ini. Turut disajikan kepada tetamu selepas sessi ceramah ialah bihun goreng, kueh, air nira dan tapai. Terima kasih kepada penceramah undangan dan para petugas yang berjaya mengendalikan majlis dengan jayanya.

Pengerusi Jiran Wanita bersama barisan jawatankuasa dan ahli-ahlinya.
Ucapan aluan Pengerusi KRT Taman Utama.

Geng Jiran Muda lelaki.
Pengerusi Jiran Wanita bersama Ustazah Faridah turut bersama mengalun selawat
Geng Jiran Wanita
Geng Tunas Jiran.


Geng AJK dan Peronda SRS.
Ustazah Faridah sedang menyampaikan ceramah beliau.
Pengerusi menemani Jawatankuasa Masjid Seberang Pumpong yang turut hadir.





Geng Jiran Muda perempuan.

Sessi menjamu selera.


Pengerusi Jiran Wanita dan jawatankuasanya bergambar bersama penceramah.
Menjamu selera bersama nira nipah.

Blog Widget by LinkWithin