KEM SMART SOLAT 2017

KEM SMART SOLAT 2017
KEM SMART SOLAT

AKTIVITI KAMI JUGA BOLEH DILAYARI MELALUI FACEBOOK - WARGA TAMAN UTAMA


Sabtu, Mac 31, 2012

** MAJLIS ANUGERAH PERPADUAN 2012 PERINGKAT NEGERI KEDAH **



Bagi meraikan dan menghargai peranan warga Rukun Tetangga, JPNIN Negeri Kedah telah menganjurkan Majlis Anugerah Perpaduan 2012 Peringkat Negeri Kedah pada hari Sabtu, 31 Mac 2012. Majlis yang disempurnakan perasmiannya oleh Yang Berbahagia Dato' Azman Amin b. Hassan, Ketua Pengarah JPNIN Malaysia ini telah diadakan di Dewan Serbaguna Bandar Muadzam Shah, Anak Bukit mulai jam 10.00 pagi.


Beberapa anugerah telah disampaikan sempena majlis tersebut seperti KRT Cemerlang, SRS Cemerlang, Tabika Perpaduan Cemerlang dan Anugerah Inovasi. KRT Taman Utama telah dicalunkan oleh Pejabat Perpaduan Daerah Kota Setar untuk kategori Anugerah Inovasi, malangnya tewas kepada KRT daripada Daerah Kubang Pasu.


Syabas dan tahniah kepada semua pemenang pada majlis tersebut, semoga majlis pengiktirafan ini akan dijadikan sebagai acara tahunan dan semoga anugerah ini menjadi penyuntik semangat kepada KRT lain yang tidak mendapat anugerah.


Agak mengejutkan juga dalam ucapan aluannya, Pengarah JPNIN Negeri Kedah, En. Mohd Saidi b. Midin memaklumkan terdapat hampir 10% KRT di Negeri Kedah didapati tidak aktif dan gagal menjalankan sebarang aktiviti. Sesuatu harus dilakukan terhadap KRT terbabit bagi menghidupkan kembali aktiviti mereka. Adalah sesuatu yang boleh dianggap mendukacitakan kerana ketika terdapat beberapa komuniti dan persatuan penduduk yang bertalu-talu mengemukakan permohonan penubuhan KRT namun gagal kerana tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan, terdapat juga KRT yang telah ditubuhkan tidak aktif.


Alhamdulillah KRT Taman Utama walaupun tidak memenangi sebarang anugerah pada tahun ini, namun masih dikategorikan sebagai KRT Cemerlang. Sesungguhnya anugerah bukanlah matlamat utama penubuhan KRT, namun jika memperolehinya adalah sebagai suatu suntikan yang bakal menambah semangat warga kerja sesebuah KRT itu.





Ketibaan tetamu jemputan yang terdiri daripada warga KRT dari seluruh Negeri Kedah.


Bendahari KRT Taman Utama, Pn. Noor Hashimah bt. Yusoff dan Ketua Peronda SRS, En. Zahid b. Abdullah turut hadir menghadiri majlis.

Selasa, Mac 27, 2012

** MESYUARAT PENGURUSAN 1/2012 **


KRT Taman Utama telah mengadakan mesyuarat pengurusan pada Khamis, 22 Mac 2012 lalu. Seramai 20 orang AJK telah menghadirinya. Mesyuarat dijalankan di Pusat Rukun Tetangga Taman Utama mulai jam 9.30 malam dan berakhir pada jam 11.45 malam. Turut hadir pada malam tersebut ialah En. Mohd Shafirul b. Abdul Sattar, Pegawai Perpaduan JPNIN Daerah Kota Setar.


Antara yang dibincangkan pada malam tersebut ialah :

Majlis Anugerah Perpaduan 2012 JPNIN Kedah. Menurut En. Mohd Shafirul, majlis akan diadakan pada hari Sabtu, 31 Mac 2012 di Dewan Serbaguna Anak Bukit yang akan dirasmikan oleh Ketua Pengarah JPNIN Malaysia. Alhamdulillah,... KRT Taman Utama turut dicalunkan untuk menerima anugerah sempena majlis tersebut.


Sistem e-RT. Pengerusi telah menunjuk serta memberikan taklimat kepada AJK yang hadir berkaitan sistem e-RT yang telah disediakan oleh pihak JPNIN melalui internet bagi memudahkan semua KRT merekodkan aktiviti dan kewangan dalam sistem secara online dan meminta urusan mengemaskini sistem ini yang selama ini dilakukan sendiri oleh beliau akan dilaksanakan oleh Setiausaha dan Bendahari.


Program kerjasama bersama Syarikat Environment Idaman. Pengerusi memaklumkan bahawa pihak syarikat tersebut telah menghubungi beliau memohon kerjasama daripada KRT Taman Utama untuk kerja-kerja pengagihan tong sampah yang baru kepada semua penduduk Taman Utama pada akhir bulan Mac atau awal bulan April nanti. Beberapa orang AJK telah diberikan tugas bagi membantu pihak terbabit menjalankan urusan pembahagian tong tersebut.


Pilihan Raya Umum Ke 13. En. Mohd Shafirul meminta barisan AJK KRT Taman Utama tidak mengadakan program dan aktiviti yang berunsurkan politik apabila tiba pilihanraya nanti. Pengerusi meminta semua AJK KRT Taman Utama yang terdiri daripada pelbagai parti agar memastikan semua poster dan bendera daripada parti masing-masing tidak dilekatkan di Pusat Rukun Tetangga dan kawasan berhampirannya bagi mengelak masalah atau kejadian yang tidak diingini berlaku.


Geran Tahunan 2012. En. Mohd Shafirul memaklumkan geran tersebut telah disalurkan melalui akaun KRT dan menyatakan hanya separuh sahaja geran tersebut diberikan, baki yang selebihnya akan disalurkan selepas bulan Jun 2012 mengikut keaktifan sesebuah KRT.

Selasa, Mac 20, 2012

*** AEDES MENYERANG TAMAN UTAMA ? ***


Para pengikut blog ini yang berasal daripada Taman Utama jangan terkejut dan susah hati apabila membaca tajuk kali ini.


Sebenarnya baru-baru ini berlaku kes demam denggi di taman perumahan berhampiran Taman Utama. Saban tahun demam ini akan melanda taman berkenaan hingga membawa kepada kematian. Tetapi Taman Utama masih terhindar daripadanya. Jika adapun hanyalah kes terpencil akibat mendapat jangkitan daripada tempat lain yang dibawa ke Taman Utama. Contohnya seperti menghantar anak ke tempat jagaan pengasuh di kawasan yang terlibat dengan denggi yang akhirnya berjangkit apabila balik ke Taman Utama.


Terkini pada hari Isnin 18 Mac 2012, berlaku kes demam denggi di taman berhampiran yang diistilahkan sebagai wabak, menyebabkan urusan semburan asap untuk membunuh nyamuk aedes terpaksa dilakukan sehingga ke Taman Utama. Semburan atau fogging tersebut mulai dijalankan pada jam 6.00 petang oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar.


Hasil temubual blogger dengan kakitangan yang mengetuai operasi ini, semburan terpaksa dilakukan termasuk ke Taman Utama kerana terdapat banyak kes yang dilaporkan kepada pihak mereka. Bagi tujuan pencegahan semburan dikawasan berhampiran perlu dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga.


Kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar sedang melakukan semburan fogging di sebahagian Taman Utama. Blogger difahamkan bahawa setiap hidupan yang tidak mempunyai tulang belakang akan mati bila terkena atau menghidu asap ini...




Penduduk berkumpul di luar rumah untuk memudahkan urusan fogging.







Selain semburan secara berjalan kaki, fogging juga dilakukan menggunakan kenderaan 4 roda.





Isnin, Mac 12, 2012

*** GERAI TEH TARIK MAC 2012 ***



Sempena musim cuti sekolah pada bulan Mac ini, ramai dikalangan ibubapa yang mengambil kesempatan untuk mengadakan kenduri melangsungkan majlis perkahwinan anak mereka. Tidak ketinggalan ialah En. Omar b. Khamis salah seorang Peronda SRS KRT Taman Utama yang mengadakan kenduri perkahwinan anak lelaki beliau pada 12 Mac 2012.


KRT Taman Utama telah membuka gerai teh tarik sempena kenduri tersebut hasil sumbangan wang ringgit berjumlah RM300.00 daripada 30 orang AJK dan Peronda SRS. Disamping dapat meringankan beban kewangan beliau, para penyumbang turut mendapat pahala sedekah jariah hasil sumbangan mereka selain dapat merapatkan hubungan ukhuwah jiran tetangga.


Memandangkan tarikh 12 Mac 2012 adalah hari bekerja, blogger dan En. Mohd Fadzil b. Ibrahim terpaksa mengambil cuti rehat pada hari tersebut bagi membantu Ketua Peronda, En. Zahid b. Abdullah dalam mengendalikan gerai. Gerai kali ini dibuka luar daripada kebiasaanya. Jika selalunya gerai akan bermula pada jam 12.00 tengahari, namun kerana permintaan hangat dikalangan tetamu dan pekerja, gerai ini telah beroperasi mulai dari jam 11.00 pagi dan berakhir pada jam 3.00 petang


Maklum balas daripada tetamu yang hadir, ramai yang memuji usaha KRT Taman Utama dalam menjalankan program seperti ini yang mampu menarik perhatian dan minat masyarakat untuk menyertai aktiviti kemasyarakatan yang dianjurkan oleh KRT.


En. Zahid b. Abdullah dan En. Mohd Fadzil b. Ibrahim.

Antara peminat teh tarik KRT Taman Utama.


Pasangan pengantin baru. Semoga berbahagia dan berkekalan hingga ke akhir hayat. Sekali tengok pengantin lelaki ni macam pelakon Aman Graseka pulak....


En. Omar b. Khamis segak bergaya, mengalahkan pengantin....







Kaum India tidak ketinggalan ingin merasai penangan teh tarik KRT Taman Utama.





Dua orang AJK KRT Taman Utama, Mr. Khoo Kek Hoo dan En. Abdul Rashid b. Omar sedang cuba-cuba belajar membuat teh tarik.


Sabtu, Mac 10, 2012

*** PERTANDINGAN NASYID ***

Pada 9 Mac 2012, blogger menerima undangan untuk merakamkan gambar sekitar pertandingan nasyid anjuran Pusat Pengajian Al-Quran Darul Mawaddah milik En. Mokhtar b. Abdul Ghani, tuan punya Restoran Tat Nasi Ayam yang bersebelahan Taman Utama.


Pertandingan adalah bersempena sambutan Maulidur Rasul yang diadakan dikalangan para pelajar pusat pengajian ini sahaja. Sejumlah 10 buah kumpulan telah menyertai pertandingan ini yang antara lain bertujuan juga untuk merapatkan ukhuwah dikalangan waris pelajar di Darul Mawaddah sendiri yang terletak di belakang Restoran Tat Nasi Ayam.


Kesemua kumpulan ini mendapat tunjuk ajar dan bimbingan mualim mereka sendiri yang terdiri daripada para pelajar Kolej Universiti INSANIAH yang terletak 1 kilometer daripada Restoran Tat Nasi Ayam.


Pertandingan bermula pada jam 9.30 pagi yang berakhir dengan kumpulan Mujahadah Alfatih telah muncul sebagai johan.








Antara waris yang hadir untuk memberikan semangat dan perangsang kepada anak-anak mereka.





Setiausaha KRT Taman Utama, En. Mohd Sharipudin, memakai kopiah bertindak selaku juruacara majlis, manakala En. Zulkiflee Mohd Salleh, Peronda SRS menjadi juruteknik sistem audio.



Kumpulan Mujahadah Al-Fatih.







Kakitangan Restoran Tat Nasi Ayam turut menyumbangkan bakat dan suara mereka diakhir pertandingan.



Jamuan tengahari....

Rabu, Mac 07, 2012

** KABIN SRS **



Dalam sehari dua ini, beberapa orang blogger tanahair telah mengetengahkan isu kabin SRS yang diperuntukkan oleh pihak JPNIN kepada beberapa KRT yang mempunyai SRS serta mempunyai lokasi atau tapak yang bersesuaian untuk diletakkan kabin ini.


Isu ini hangat diperkatakan setelah diadakan majlis Pelancaran Pusat Kawalan SRS Peringkat Negeri Pahang yang dilakukan oleh YAB Dato' Seri Adnan b. Yaakob, Menteri Besar Pahang pada 4 Mac 2012 lalu. Menurut Ketua Pengarah JPNIN, Dato' Azman Azmin b. Hassan, pihak JPNIN telah menyediakan 90 buah kabin untuk KRT yang mempunyai SRS diseluruh negara. Kabin ini telah direka dan mendapat sentuhan oleh Universiti Teknologi Malaysia dan mampu menampung seramai 30 orang Peronda SRS pada suatu masa.


Apa yang menjadi perdebatan para blogger ialah berkaitan harganya yang bernilai RM75,000.00 setiap satu. Ada yang berkata harganya terlalu mahal dan menganggarkan harganya hanya disekitar RM15,000.00 hingga RM 20,000.00 sahaja.


Blogger enggan mengupas isu ini kerana pastinya harga ini telah dipersetujui oleh semua pihak yang terlibat dengannya. Apa yang ingin blogger katakan hanyalah ucapan TAHNIAH dan SYABAS kepada pihak JPNIN kerana telah berusaha untuk menyediakan kemudahan prasarana ini untuk keselesaan para Peronda SRS yang bersengkang mata tidak mengira waktu, samada siang maupun malam semata-mata untuk memastikan keselesaan, kesejahteraan dan keselamatan jiran tetangga masing-masing terjamin.


Setidak-tidaknya para Peronda SRS kini telah mempunyai markas mereka sendiri tidak hanya berbumbungkan mini kanopi atau payung kecil yang digunakan oleh peniaga roda tiga sahaja. Kini mereka tidak lagi terdedah pada faktor cuaca seperti hujan dan juga panas dan pastinya melonjakkan lagi semangat dan komitmen mereka bila tiba giliran menjalankan rondaan.


KRT Taman Utama juga pernah dilawati oleh pihak JPNIN Daerah Kota Setar akhir tahun 2011 untuk melihat tapak penempatan kabin ini yang sememangnya telah digazetkan oleh Majlis Bandaraya Alor Setar, namun sehingga kini masih belum tahu status kelulusan peruntukkan kabin kepada KRT Taman Utama, samada diluluskan atau sebaliknya. Blogger hanya mampu berdoa agar disuatu hari nanti, KALAU BOLEH TAHUN INI, kabin yang comel lote ini akan dapat diletakkan di KRT Taman Utama., he.. he.. he... AMINNN!!!




Boleh pasang aircond ni !!!!

Sabtu, Mac 03, 2012

** LAWATAN MESRA **


Pada hari Sabtu, 3 Mac 2012, YB Dato' Haji Abd Rahman b. Haji Palil, ADUN Kawasan Sementa, Negeri Selangor Darul Ehsan telah melakukan suatu lawatan kerja sempena Program Permukiman BNBBC Peringkat Kebangsaan di Negeri Kedah. Program ini telah dilangsungkan di Taman Tunku Tabor bersebelahan Taman Utama.


Antara pengisian program ini ialah lawatan mesra YB Dato' Haji Abd Rahman ke beberapa buah rumah bagi menziarahi individu yang dikenalpasti di sekitar Jalan Gangsa, dalam DUN Bakar Bata ini. Blogger sebagai Pengerusi KRT adalah antara yang terpilih dikunjungi oleh beliau. Lawatan ke rumah blogger dilakukan pada jam 12.15 tengahari, namun agak kurang selesa juga ketika kunjungan itu kerana hujan mulai turun di kawasan Taman Utama.


Antara yang menjadi perbincangan antara blogger dan YB Dato' Haji Abd Rahman adalah berkisarkan isu semasa termasuk politik dan aktiviti kemasyarakatan yang KRT Taman Utama lakukan.


Blogger bersama Pn. Noor Hashimah bt. Yusoff, selaku Bendahari KRT Taman Utama bergambar bersama YB Dato' Haji Abd Rahman di hadapan rumah blogger. Turut serta ialah Tuan Haji Awang Kechik b. Haji Idris, Pengerusi KRT Taman Wira Mergong, berbaju kemeja dan berkopiah puteh dan Tuan Haji Yahaya b. Ismail, Pengerusi JKKK(P) Kampong Lubuk Peringgi, memakai tracksuit merah hitam.

YB Dato' Haji Abd Rahman sedang melihat brosur KRT Taman Utama, ketika berada dalam rumah blogger.


Blog Widget by LinkWithin