KEM SMART SOLAT 2017

KEM SMART SOLAT 2017
KEM SMART SOLAT

AKTIVITI KAMI JUGA BOLEH DILAYARI MELALUI FACEBOOK - WARGA TAMAN UTAMA


Isnin, Januari 23, 2012

** PROGRAM KITAR SEMULA **


Program Kitar Semula yang melibatkan penduduk Taman Utama bersama pihak Environment Idaman Sdn Bhd masih dijalankan sehingga kini. Program 2 minggu sekali ini diadakan pada setiap hari Sabtu.


Terkini program tersebut telah diadakan pada hari Sabtu 21 Januari 2012 di perkarangan rumah no. 263 Taman Utama, rumah En. Pissal b. Abu, salah seorang pegawai Environment Idaman yang terlibat secara khusus dengan program Kitar Semula ini di seluruh Negeri Kedah.


Melalui program ini penduduk Taman Utama dan kawasan di sekitarnya akan membawa bahan-bahan yang boleh di kitar semula untuk dijual terus kepada syarikat tersebut dengan kadar harga yang lebih tinggi daripada pembeli bahan kitar semula yang sering datang ke kawasan perumahan.


Disamping dapat menjaga dan memelihara alam sekitar sekitar taman perumahan, program ini juga dapat menjana ekonomi penduduk setempat. InsyaAllah program ini akan diperhebatkan lagi pada tahun 2012 dengan hebahan yang lebih meluas dan menyeluruh kepada masyarakat setempat.




Penduduk membawa bahan kitar semula untuk dijual.

En. Pissal menimbang bahan yang dihantar oleh penduduk.


Bayaran tunai diberikan kepada penduduk. Kalangan kanak-kanak merupakan pelanggan setia program ini. Selain dapat menambah wang poket, program ini dapat mendidik mereka menghargai alam sekitar dan menanam semangat menabung dikalangan mereka.



Gambar ehsan : En. Pissal b. Abu.

Sabtu, Januari 21, 2012

** PROMOSI GERAI TEH TARIK **


Pada 15 Januari 2012, ketika blogger dan beberapa orang AJK dan Peronda SRS melakukan gotong royong memasang siling dewan, En. Mohd Yusof b. Daud, salah seorang Pegawai JPNIN Negeri Kedah telah datang menjemput blogger dan AJK untuk menghadiri jamuan kenduri perkahwinan anak lelaki beliau di Taman Mutiara Naga.


Beliau turut menjemput KRT Taman Utama untuk menyediakan teh tarik pada majlis tersebut. Sehubungan dengan itu, pada hari Sabtu, 21 Januari 2012, blogger dan En. Zahid b. Abdullah, Ketua Peronda SRS bersama anak blogger telah pergi ke rumah beliau menyediakan teh tarik kepada tetamu beliau.


Selaku Pengerusi, blogger menerima jemputan ini kerana beberapa faktor. Pertama sebagai mengenang jasa En. Mohd Yusof yang mencadangkan penubuhan KRT Taman Utama apabila beliau bertemu Tuan Haji Jusoh b. Mat Daud, Pengerusi Pakatan Kebajikan & Kemasyarakatan Taman Utama sewaktu En. Mohd Yusof bersarapan di gerai kueh Tuan Haji Jusoh di bangunan Pekan Rabu sekitar tahun 2004.


Keduanya kerana En. Mohd Yusof adalah pegawai yang bertanggong jawab pada SRS Negeri Kedah dan SRS Taman Utama banyak menerima khidmat nasihat dan peralatan yang disumbangkan oleh beliau. Ketiganya kerana blogger kenal rapat dengan beliau apabila sering bertemu sebagai Fasilitator di beberapa siri Kem Rakan Muda dan Jiran Muda anjuran bersama JPNIN Negeri Kedah dan Jabatan Belia Negeri Kedah beberapa tahun lalu.


Sebab terakhirnya adalah kerana masih ada lebihan susu dan sedikit wang petty cash ditangan blogger untuk membeli beberapa keperluan lain seperti tambahan susu, gelas dan teh. Selain daripada itu gerai teh tarik ini sekali gus dapat mempromosikan KRT Taman Utama kepada masyarakat luar.


Hasil maklum balas daripada beberapa kakitangan JPNIN dan AJK KRT yang hadir ke majlis perkahwinan tersebut, mereka memuji usaha KRT Taman Utama ini dan akan cuba mengadakan aktiviti seumpama ini di KRT masing-masing, bahkan ramai dikalangan mereka juga yang mengikuti aktiviti KRT Taman Utama melalui blog ini.


Terima kasih juga kepada En. Mohd Yusof yang memberi wang saku kepada kami yang pergi.


Blogger bersama En. Mohd Saidi b. Midin, Pengarah JPNIN Negeri Kedah (berbaju T), dan Mohd Yusof mengabadikan gambar bersama pasangan pengantin di hadapan gerai.

Pasangan pengantin. Tak sangka pula blogger bahawa bapa pengantin perempuan adalah kenalan blogger yang sering berjumpa apabila pergi mengikuti majlis atau ceramah agama disekitar Alor Setar. Memang kecil dunia ni......


Gerai yang sudah sedia untuk beroperasi..


Selasa, Januari 17, 2012

** PERISTIWA 15 JANUARI 2012 **



PERISTIWA PERTAMA :


15 Januari 2012 merupakan hari cuti am bagi Negeri Kedah kerana meraikan Keputeraan KDYMM Tuanku Sultan Kedah kali yang ke 84. Pada hari ini beberapa orang AJK KRT Taman Utama dan Peronda SRS telah turun padang ke Pusat Rukun Tetangga Taman Utama mengadakan gotong royong memasang siling di dewan tersebut.


Sebelum itu, pada 11 Januari 2011, blogger telah dihubungi oleh Pn. Rosni bt. Kasim, Pengerusi Jiran Wanita yang memaklumkan hasrat beliau dan suaminya En. Che Daud b. Hashim untuk menyumbang kos pembiayaan bagi memasang siling di dewan tersebut. Ekoran daripada itu tarikh 15 Januari telah dipilih sempena cuti tersebut.


Kerja-kerja pemasangan ini telah diketuai oleh En. Md. Nasser b. Mat Akhir dan En. Jailani b. Sabran serta dibantu oleh En. Zahid b. Abdullah, En. Mohd Fadzil b. Ibrahim, En. Abd Rashid b. Abdul Rahman, En. Nik Riduan b. Nik Lah, En. Shaharudin b. Saad, En. Mohd Sharipudin b. Abu Kasim, En. Abd Halim b. Ahmad, En. Abd Rashid b. Omar, En. Che Daud b. Hashim dan blogger sendiri.


Kerja-kerja telah dimulai pada jam 10.00 pagi yang berlarutan hingga ke jam 2.30 pagi dan diteruskan pula pada keesokan harinya. Selain daripada menyumbang bahan siling, Pn. Rosni turut menyumbang makanan dan minuman untuk mereka yang terlibat dalam kerja-kerja tersebut.



3 orang Jiran Muda turut membantu.








Pn. Rosni bt. Kassim, Pengerusi Jiran Wanita yang sudi menyumbang peralatan siling. Terima kasih daun keladi, semoga Allah memurahkan rezeki dan memberkati kerja anda suami isteri.....



PERISTIWA KE DUA.

Ketika kerja-kerja pemasangan siling dijalankan, En. Mohd Fadzil b. Ibrahim telah pergi ke belukar yang terletak berhampiran Pusat Rukun Tetangga tersebut untuk mencari kayu terpakai bagi tujuan kerja yang sedang dilakukan. Sewaktu merayau-rayau mencari kayu, beliau telah terjumpa satu rangka motorsikal yang telah dileraikan beberapa komponennya seperti tayar dan meter.


Beliau telah memaklumkannya kepada Ketua Peronda SRS iaitu En. Zahid b. Abdullah yang kemudiannya menghubungi blogger yang telah kembali ke rumah untuk solat Zohur. Blogger seterusnya menghubungi Balai Polis Daerah Kota Setar yang tiba 20 minit kemudian untuk membuat siasatan dan pemeriksaan terhadap motorsikal tersebut.


Difahamkan oleh pihak JPJ yang telah dihubungi oleh blogger bahawa kenderaan tersebut dimiliki oleh individu dari Daerah Pendang yang terletak lebih daripada 40 kilometer daripada Taman Utama. Pihak PDRM akhirnya mengesahkan bahawa kenderaan tersebut telah dilaporkan hilang dalam tempoh sebulan yang lalu. Motorsikal tersebut kemudiannya telah dibawa ke Balai Polis Daerah Kota Setar untuk tindakan selanjutnya.


Ketua Peronda SRS, En. Zahid b. Abdullah sedang memberikan maklumat berkaitan penemuan rangka motorsikal tersebut kepada anggota Polis yang bertugas.







Rangka motorsikal yang diusung keluar daripada kawasan belukar.


Dalam kawasan belukar inilah rangka motorsikal tersebut ditemui.


Anggota PDRM Daerah Kota Setar bersama Ketua dan Setiausaha Peronda SRS KRT Taman Utama bergambar apabila selesai siasatan dilakukan.

Selasa, Januari 10, 2012

** SoRoTaN AkTiViTi 2011 **



Selamat menyambut tahun baru 2012 kepada semua warga Taman Utama dan warga KRT di seluruh Malaysia dan tidak ketinggalan kepada semua yang sering melayari blog ini. Terima kasih di atas sokongan dan kesudian anda semua menjengah ke blog ini.


Tahun 2012 merupakan tahun yang diramalkan ARMAGEDON atau KIAMAT pada dunia kita oleh masyarakat kuno Tamadun Maya. Kita sebagai penganut yang beragama Islam seharusnya tidak terpengaruh atau mempercayainya kerana tanda-tanda besar kiamat seperti kemunculan Imam Mahadi dan Dajjal yang akan berkuasa selama 40 tahun masih belum menjelma. Namun hari kiamat itu pasti akan datang, hanya Allah saja yang lebih mengetahui bilakah kiamat itu akan berlaku....


Hari ini, 12 Januari 2012 dapatlah blogger sedikit ruang dan waktu untuk mengimbas kembali aktiviti yang dilaksanakan oleh KRT Taman Utama sepanjang tahun 2011.


Apabila terbinanya dewan atau Pusat Rukun Tetangga hasil keringat dan sumbangan penduduk Taman Utama pada akhir 2010, ianya telah memberikan suatu kesan dan impak yang amat mendalam dan besar kepada aktiviti KRT Taman Utama.


Sebelum terbinanya dewan ini aktiviti yang dijalankan agak terbatas kerana ketiadaan tempat, hanya berkisar diperkarangan rumah blogger sahaja. Namun dengan terbinanya dewan ini, langkah KRT Taman Utama menjadi kian panjang dan jauh mengorak dalam menjana aktiviti untuk masyarakat setempat.


Banyak aktiviti perdana yang dapat dijalankan dengan adanya dewan ini seperti kem solat, ceramah agama, program cuti sekolah dan sebagainya. Namun semuanya itu tidak mungkin menjadi kenyataan dan tercapai sekiranya tanpa sokongan dan dokongan beberapa pihak. Sehubungan itu blogger merakamkan penghargaan terima kasih kepada barisan Ahli Jawatankuasa, Peronda SRS, Jiran Wanita, Jiran Muda, Jiran Usia Emas dan Tunas Jiran serta tidak ketinggalan kepada segenap lapisan masyarakat Taman Utama yang bersama-sama mengerah keringat, tenaga dan wang ringgit sewaktu diadakan aktiviti sepanjang tahun 2011.



Tidak dilupakan juga bantuan dan sokongan yang tidak berbelah bagi pihak JPNIN Negeri Kedah terutama kepada Tuan Pengarah, En. Mohd Saidi b. Midin, Pn. Noorassemah bt. Abdullah, Pegawai Perpaduan Daerah Kota Setar dan En. Mohd Shafirul b. Abdul Sattar selaku pegawai yang memantau KRT Taman Utama.



Tahun 2011 jelas memperlihatkan beberapa perubahan dalam susunan pengurusan KRT Taman Utama apabila En. Mohd Noor b. Harun meletakkan jawatan sebagai Pengerusi kerana kekangan waktu dan kerja-kerja beliau di Syarikat Usima Group. Tempat beliau telah diganti oleh blogger sendiri manakala muka baru, En. Mohd Sharipudin b. Abu Kassim, seorang kakitangan di Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah dilantik sebagai Setiausaha yang baru yang dibantu oleh En. Shaharudin b. Saad sebagai Penolong Setiausaha yang membuat kemunculan semula dalam barisan AJK setelah mengundurkan diri selama 4 tahun.



Begitu juga dengan pengunduran Hajah Pn. Rokiah bt. Haji Ab. Hamid selaku Bendahari yang kemudiannya diisi oleh En. Mohd. Nasser b. Mat Akhir. Namun begitu, disebabkan kenaikan pangkat ditempat kerjanya yang membuatkan beliau terpaksa memantau urusan kerjanya di Alor Setar dan Sungai Petani, beliau akhirnya terpaksa mengundur diri dan digantikan pula oleh Pn. Noor Hashimah bt. Yusoff sebagai Bendahari yang baru.



Impak yang penting dalam struktur pengurusan ialah apabila Ustazah Rogayah bt. Ramli dilantik sebagai Setiausaha Jiran Wanita. Pelantikan beliau telah menjanakan lagi aktiviti Jiran Wanita dengan pelbagai aktiviti yang dikendalikan oleh beliau yang melibatkan penglibatan golongan wanita dari kalangan dewasa, remaja dan kanak-kanak terutama yang berkaitan aspek kerohanian.



Bagi tahun 2012 ini, InsyaAllah, jika tiada aral mendatang, kelas KAFA untuk Tunas Jiran dan Jiran Muda akan dimulakan pada bulan Februari 2012 sebagai aktiviti pertama untuk tahun ini sementara menunggu geran kewangan tahunan bagi tahun 2012 disalurkan oleh JPNIN Negeri Kedah.



Berikut disenaraikan aktiviti yang telah berjaya diadakan oleh KRT Taman Utama sepanjang 2011.


Sepanjang tahun 2011, sebanyak 16 kali mesyuarat jawatankuasa dan mesyuarat khas telah diadakan.


Program gotong royong. Sepanjang tahun 2011, sebanyak 7 kali aktiviti ini dapat dilaksanakan yang melibatkan pelbagai agensi luar yang diadakan meliputi seluruh kawasan Taman Utama dan di Pusat Rukun Tetangga.


Program jamuan makan malam, barbeque pada 30 Julai 2011.


Pengerusi dan Bendahari KRT Taman Utama menyertai Seminar Pemantapan Profesionalisme Nilai-nilai Murni Dalam Gagasan 1 Malaysia di INFRA, Bangi pada 18 - 20 Oktober 2011.


Program jamuan Hari Raya Aidil Fitri yang diadakan pada 24 September 2011.


Program Ihya Ramadhan yang menyediakan menu berbuka puasa dan jamuan moreh sebanyak 2 kali untuk penduduk Taman Utama dan anak qaryah Masjid Seberang Pumpong.


Sebahagian barisan AJK dan Peronda SRS KRT Taman Utama.

Program bacaan Yasin. Program ini memberi impak yang besar kepada aktiviti yang melibatkan Jiran Wanita. Selain berjaya mengadakan bacaan pada setiap malam Jumaat, aktiviti ini juga dijalankan hampir setiap bulan yang diadakan dari rumah ke rumah yang diadakan pada waktu pagi atau petang, terutama pada hari cuti am.


Aktiviti SRS yang dapat dilaksanakan 2 kali seminggu.


Program Lawatan Integrasi Jiran Wanita ke Sarawak dan Brunai pada 13 Januari 2011.


Menerima Anugerah Kualiti Rukun Tetangga Negeri Kedah tahun 2010 pada 15 Januari 2011 di SP Inn, Sungai Petani.


Menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2011 Peringkat Negeri Kedah pada 26 Februari 2011 di Dewan Orang Ramai Bandar Muadzam Shah.


Menerima lawatan mesra daripada KRT Felcra Belia Rompin, Daerah Jempol Negeri Sembilan pada 28 Februari 2011.


Program Cuti Sekolah pada 16 Mac 2011 yang turut mendapat kerjasama daripada Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah.


Program masakan Kek Lapis Sarawak pada 2 April 2011.


Selain agensi kerajaan, sektor swasta dan korporat, KRT Taman Utama turut menerima sumbangan dan bantuan daripada YB Dato' Wira Chor Chee Heung, Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, selaku Ahli Parlimen Alor Setar.


YB Dato' Paduka Ahmad Bashah b. Md. Hanipah, ADUN Bakar Bata turut menjadikan KRT Taman Utama sebagai lokasi untuk beliau menyumbangkan bantuan kepada rakyat dalam kawasannya.


Selaku ADUN Bakar Bata, YB Dato' Paduka Ahmad Bashah tidak ketinggalan untuk menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada KRT Taman Utama sepanjang tahun 2011.


Program sambutan Hari Ibu pada 7 Mei 2011.



Menyertai acara Sukaneka Minggu Perpaduan Negeri Kedah pada 28 Mei 2011 di Alor Setar.


Program Kem Solat Jiran Muda pada 5 - 6 Jun 2011.


Majlis Nisfu Syaaban pada 16 Julai 2011 yang disi dengan bacaan Yasin.



Lawatan Integrasi Jiran Wanita ke Bukit Tinggi dan Padang, Indonesia pada 27 Jun 2011.


Majlis ceramah Israk Mikraj pada 29 Jun 2011 yang turut dihiasi dengan segmen persembahan nasyid dan bercerita oleh Tunas Jiran.


Pengerusi dan Setiausaha menyertai bengkel e-rt pada 13 Julai 2011 di INSPIN, Alor Setar.



En. Ahmad Azly b. Ahmad Ibrahim, AJK KRT Taman Utama mewakili JPNIN Negeri Kedah menyertai kejohanan Golf Amal Perpaduan 1 Malaysia di UKM Bangi pada 23 - 24 Julai 2011.



Program Tazkirah Ramadhan pada 31 Julai 2011. Program untuk Jiran Wanita ini dikendalikan oleh Ustazah Rogayah bt. Ramli, Setiausaha Jiran Wanita.



Program Semarak Merdeka dengan kempen mengibar dan menghiasi Jalur Gemilang di Pusat Rukun Tetangga pada 19 Ogos 2011.


Program Kembara Ramadhan pada 20 Ogos 2011 bersama NGO WargaKilang yang menjelajah Daerah Sik bagi menyalurkan sumbangan kepada fakir miskin.


Program Hari Keluarga pada 24 September 2011.



Seramai 3 orang anggota Peronda SRS KRT Taman Utama telah dipilih menyertai Pasukan Khas Sukarelawan Rukun Tetangga Negeri Kedah yang pertama kali ditubuhkan oleh JPNIN Negeri Kedah bagi menyertai misi bantuan kemanusiaan di Negeri Kedah.


Majlis Tazkirah Ibadah Qurban pada 3 November 2011 yang disampaikan oleh Ustaz Sabani b. Saad, daripada Jabatan Penjara Alor Setar.


Program Qurban Aidil Adha pada 6 - 7 November 2011 yang melibatkan kerjasama dengan pihak Jabatan Penjara Alor Setar.


Peronda SRS menyertai program Jom Ronda SRS Bersama Media anjuran JPNIN Kedah pada 27 Mei 2011 di Changlun dan 25 November 2011 di Alor Setar.


Program memasak bubur Asyura pada 10 Disember 2011.


Program Santai Keluarga di Chalet Terapung Segantang Garam, Merbok pada 15 - 16 Disember 2011.



Gerai teh tarik yang mulai diperkenalkan pada 24 Disember 2011. Pihak KRT akan menyumbangkan teh tarik kepada penduduk yang aktif bersama KRT apabila mereka mengadakan kenduri.

Blog Widget by LinkWithin