KEM SMART SOLAT 2017

KEM SMART SOLAT 2017
KEM SMART SOLAT

AKTIVITI KAMI JUGA BOLEH DILAYARI MELALUI FACEBOOK - WARGA TAMAN UTAMA


Ahad, Julai 21, 2013

** KEMBARA RAMADHAN 1434H **


Syukur, Alhamdulillah Ramadhan 1434H kali ini sekali lagi team KRT Taman Utama berpeluang menyertai NGO WargaKilang menjelajah menyampaikan bantuan kepada golongan fakir miskin yang amat memerlukan bantuan dan sumbangan harta benda ataupun wang ringgit, apatah lagi di bulan Ramadhan dan menjelang Aidil Fitri yang bakal tiba.

Kembara kali ini dilangsungkan pada hari Sabtu, 20 Julai 2013 di Daerah Baling, Kedah. Objektif utama ialah menghulurkan sumbangan kepada golongan asnaf, meraikan Ramadhan dengan aktiviti yang berfaedah, merapatkan silatulrahim dengan peserta kembara yang terdiri daripada pelbagai persatuan serta individu daripada seluruh negeri di Utara Semenanjung serta merasai dan melihat sendiri kesempitan hidup golongan yang kurang berkemampuan menjalani kehidupan seharian mereka. Terdapat juga peserta daripada Singapura dan Kuala Lumpur yang turut menyertai program ini!

KRT Taman Utama menerima sumbangan wang ringgit berjumlah RM901.00 dari beberapa orang penduduk Taman Utama dan kakitangan Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah, tempat blogger bertugas. Sebahagian daripada wang tersebut digunakan untuk membeli barangan keperluan menjelang hari raya seperti beras, gula, kain pelikat dan kain batik serta makanan untuk golongan kanak-kanak manakala sebahagian lagi diberikan secara wang tunai kepada keluarga yang disasarkan yang berjumlah seramai 30 orang kesemuanya.

KRT Taman Utama turut menerima suntikan dana daripada pemilik Restoran Tat Nasi Ayam, En. Mokhtar b. Abdul Ghani yang menyumbangkan 30 beg beras dan wang zakat perniagaan beliau kepada KRT Taman Utama untuk dihulurkan kepada keluarga tersebut, malah beliau turut memberikan kenderaan pacuan 4 rodanya kepada KRT Taman Utama untuk membawa barang-barang tersebut. Dan lebih mengujakan kami apabila beliau secara mengejut turut menyertai team KRT Taman Utama pergi ke Daerah Baling bersama pemilik kedai Satay Setia yang bersebelahan kedai Tat Nasi Ayam pada pagi tersebut. Maka bertambahlah lagi dana yang kami bawa.

 
En. Mokhtar, pemilik Restoran Tat Nasi Ayam menyerahkan 30 beg beras, 10 kilo tiap satu kepada Pengerusi KRT Taman Utama untuk diagihkan kepada fakir miskin.




Setiausaha dan Bendahari KRT Taman Utama memasukkan kain pelikat dan barangan makanan untuk diserahkan kepada penerima.


Perjalanan kami pada 20 Julai 2013 bermula pada jam 6.30 pagi apabila berkumpul di perkarangan Restoran Tat Nasi Ayam. Team KRT Taman Utama diwakili oleh Pengerusinya Yahya Abd Raof, Mohd Sharipudin Abu Kasim dan Mohd Fadzil Ibrahim manakala team Tat Nasi Ayam diketuai oleh Mokhtar Abd Ghani dan 3 orang pekerjanya dan team Satay Setia diketuai oleh Aziz dan 3 orang pekerjanya. Kami bertolak dengan menaiki 3 buah kenderaan dan tiba di Pekan Kupang, Baling pada jam 9.00 pagi. ( Team Tat Nasi Ayam dan Satay Setia bertolak pulang pada jam 1.00 tengahari kerana urusan perniagaan mereka dan meninggalkan sumbangan mereka kepada Team KRT Taman Utama untuk disampaikan kepada penerima ).

Kesemua peserta dari seluruh utara semenanjung berkumpul di Surau An-Nur, Taman Mesra, Kupang. Disini kesemua barangan yang dibawa oleh peserta akan diagihkan kepada 30 set atau bahagian iaitu mengikut jumlah 30 buah keluarga yang bakal menerima barangan tersebut. Selesai agihan dan dimuatkan semula ke dalam kenderaan peserta, suatu taklimat ringkas kemudiannya disampaikan oleh penyelaras program iaitu En. Monier Mat Din diikuti bacaan doa selamat dan tazkirah khas Ramadhan oleh salah seorang peserta dari team WargaKilang.

Tepat jam 10.00 pagi kesemua peserta bergerak secara konvoi menuju ke kampung-kampung yang telah dikenal pasti seperti Kg. Becah Sawa, Kg.Tanjong Pari, Kg. Siput dan beberapa buah kampong lagi. Hampir 40 buah kenderaan menyertai konvoi ini yang melibatkan  hampir 150 orang peserta dari pelbagai persatuan dan orang perseorangan.

Serahan barangan kepada penerima dilakukan secara 2 kaedah. Pertama di serahkan terus kepada penerimanya di rumah mereka sendiri manakala kaedah ke dua ialah penerima dikumpulkan secara berkelompok disebuah rumah yang ditetapkan.

Bersiap sedia untuk bertolak sambil menambah beberapa barang yang diterima pada saat akhir.


Peserta tanpa mengenali antara satu sama lain berganding bahu mengeluarkan barangan daripada kenderaan kami.




Peserta wanita mengagih dan menyusun barang mengikut jumlah keluarga penerima.


Monier Mat Din, penyelaras program.


Bacaan doa selamat untuk urusan perjalanan dan kerja penyerahan barang.


Amin Ya Allah, rahmati dan berkatilah pekerjaan kami ini..




Penyerahan wang kutipan dikalangan peserta kepada Tuan Imam Surau An-Nur, berkopiah puteh.


Mohd Sharipudin berbaju hitam dan Mohd Fadzil berbaju merah berposing sebelum bertolak ke destinasi...


Deretan konvoi kenderaan mulai bergerak dari Surau An-Nur.


Konvoi melalui lorong kecil dikawasan kampong. Tak dapat blogger bayangkan jika ada kenderaan lain yang keluar masuk berselisih dengan kereta kami...


He.. he.. bulan-bulan puasa ni marshall pun boleh tersilap lorong dan jalan..... gambar ketika kami tersilap jalan. Lihatlah keindahan pemandangan kampong ini yang berlatar belakangkan bukit bukau... jiwang abih...


Blogger  menyampaikan sumbangan daripada penduduk Taman Utama, kakitangan Perpustakaan Awam Kedah, Tat Nasi Ayam dan Satay Setia kepada penerima pertama, seorang ibu tunggal beranak 7 yang baru kematian suami beberapa bulan lalu akibat serangan jantung. Tak dapat blogger bayangkan bagaimana beliau mengharungi kehidupannya sekeluarga tanpa suami dan tanpa pekerjaan tetap.


Wakil WargaKilang menyampaikan secara rasmi barangan daripada semua peserta kepada ibu tunggal disaksikan anak-anak beliau.



Suasana dan kesesakan ketika konvoi menjelajah kampong.




Banyak kawasan rumah yang kenderaan kami sukar untuk sampai, jadi peserta terpaksa memikul barangan yang dibawa secara team Wonder Pet, apa yang penting? kerjasamaaaaa..




Setiausaha KRT Taman Utama menyampaikan sumbangan wang daripada Tat Nasi Ayam, Satay Setia, penduduk Taman Utama dan kakitangan Perpustakaan Awam Kedah.


KRT Taman Utama turut diberikan penghargaan oleh pihak penganjur untuk menyampaikan sumbangan rasmi daripada peserta kepada penerima.


Semoga sumbangan kecil ini meringankan beban kewangan mereka dan memberi sedikit kegembiraan kepada mereka dibulan puasa dan menjelang hari raya nanti.


En. Mohd Fadzil mewakili KRT Taman Utama menyampaikan sumbangan kepada penerima. Anda lihatlah dinding rumah dibelakangnya. Berat mata kita melihat berat lagi bahu mereka yang mendiaminya...




Ramai peserta yang terharu dan tak kurang juga yang mengalirkan air mata apabila melihat takdir anak malang ini. Ibu bapanya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, terpaksa pula mencari perbelanjaan sampingan untuk kos perubatan sakit anak ini yang dianggarkan RM200 setiap bulan. Kulit anak ini bersisik, kemerahan dan matanya sering berair.... Betapa hebat dan besarnya dugaan Allah terhadap keluarga ini....


Berkerjasama mengangkat barangan ke atas rumah, bergegar rumah ini dengan berat barangan yang diterima oleh penghuninya, bimbang juga blogger jika runtuh rumah ini, maklumlah diperbuat daripada buluh dan kayu pula sudah mulai reput.












Salah seorang ibu tunggal yang menerima sumbangan. Mempunyai anak OKU manakala beliau sendiri buta sebelah matanya. Pendapatan tetap tidak menentu, sekadar mengambil upah menumbuk kopi kampong sahaja.












Penerima ini, yang berdiri ditengah, paling mendapat simpati ramai peserta apabila melihat rumah yang didiaminya bersama suami dan tiga orang anaknya.


Inilah rumah beliau yang diperbuat daripada buluh.


Ini bahagian dalam rumah beliau, diruang inilah tempat mereka berlima tidur, makan dan tempat anak mereka mengulangkaji pelajaran.


Sebahagian besar peserta mengambil peluang melelapkan mata untuk sekadar 10 minit ketika berhenti solat Zohur. Letih beb, mana tidaknya, bertolak sesudah suboh kemudian ke kawasan perkampongan pula yang agak sukar untuk memandu...




He .. he.. Mohd Fadzil awalnya sekadar terlelap ketika menyandar, tetapi akhirnya terbaring terus .....


Lorong yang paling kecil ketika tiba ke destinasi yang terakhir .....


Anak-anak peserta mengambil kesempatan bermain air di anak sungai kecil ditepi rumah terakhir. Tuan rumah bermurah hati menyuruh peserta memetik buah-buah manggis dan sebagainya yang terdapat disekitar rumahnya.




Sebak dan bergenang air mata penerima sumbangan ini.


Sebahagian peserta bergambar beramai-ramai ketika tiba dirumah terakhir...


Team KRT Taman Utama bergambar bersama teraju utama program, Monier dan Aznee dari Warga Kilang.


Blogger bersama sebiji durian yang luroh dikawasan rumah penerima yang terakhir. Rezeki untuk berbuka puasa bersama pulut lemang....



Program kembara ini berakhir pada jam 3.30 petang, team KRT Taman Utama selamat tiba ke rumah pada jam 5.00 petang. Terima kasih kepada penyumbang barangan, wang ringgit dan yang memberikan sokongan kepada program ini. Terima kasih kepada Warga Kilang kerana sekali lagi membenarkan kami menyertai kembara amal seperti ini. InsyaAllah panjang umur murah rezeki kita akan bertemu lagi dalam program seumpama ini.

Apabila mati anak Adam itu, berakhirlah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariahnya, ilmu yang bermanafaat dan anak soleh yang mendoakan ke dua ibubapanya.....

Semoga apa yang dilakukan ini mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda dari ALLAH SWT.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

sila tinggalkan ulasan dan pandangan anda disini.

Blog Widget by LinkWithin