Selamat menyambut tahun baru 2012 kepada semua warga Taman Utama dan warga KRT di seluruh Malaysia dan tidak ketinggalan kepada semua yang sering melayari blog ini. Terima kasih di atas sokongan dan kesudian anda semua menjengah ke blog ini.
Tahun 2012 merupakan tahun yang diramalkan ARMAGEDON atau KIAMAT pada dunia kita oleh masyarakat kuno Tamadun Maya. Kita sebagai penganut yang beragama Islam seharusnya tidak terpengaruh atau mempercayainya kerana tanda-tanda besar kiamat seperti kemunculan Imam Mahadi dan Dajjal yang akan berkuasa selama 40 tahun masih belum menjelma. Namun hari kiamat itu pasti akan datang, hanya Allah saja yang lebih mengetahui bilakah kiamat itu akan berlaku....
Hari ini, 12 Januari 2012 dapatlah blogger sedikit ruang dan waktu untuk mengimbas kembali aktiviti yang dilaksanakan oleh KRT Taman Utama sepanjang tahun 2011.
Apabila terbinanya dewan atau Pusat Rukun Tetangga hasil keringat dan sumbangan penduduk Taman Utama pada akhir 2010, ianya telah memberikan suatu kesan dan impak yang amat mendalam dan besar kepada aktiviti KRT Taman Utama.
Sebelum terbinanya dewan ini aktiviti yang dijalankan agak terbatas kerana ketiadaan tempat, hanya berkisar diperkarangan rumah blogger sahaja. Namun dengan terbinanya dewan ini, langkah KRT Taman Utama menjadi kian panjang dan jauh mengorak dalam menjana aktiviti untuk masyarakat setempat.
Banyak aktiviti perdana yang dapat dijalankan dengan adanya dewan ini seperti kem solat, ceramah agama, program cuti sekolah dan sebagainya. Namun semuanya itu tidak mungkin menjadi kenyataan dan tercapai sekiranya tanpa sokongan dan dokongan beberapa pihak. Sehubungan itu blogger merakamkan penghargaan terima kasih kepada barisan Ahli Jawatankuasa, Peronda SRS, Jiran Wanita, Jiran Muda, Jiran Usia Emas dan Tunas Jiran serta tidak ketinggalan kepada segenap lapisan masyarakat Taman Utama yang bersama-sama mengerah keringat, tenaga dan wang ringgit sewaktu diadakan aktiviti sepanjang tahun 2011.
Tidak dilupakan juga bantuan dan sokongan yang tidak berbelah bagi pihak JPNIN Negeri Kedah terutama kepada Tuan Pengarah, En. Mohd Saidi b. Midin, Pn. Noorassemah bt. Abdullah, Pegawai Perpaduan Daerah Kota Setar dan En. Mohd Shafirul b. Abdul Sattar selaku pegawai yang memantau KRT Taman Utama.
Tahun 2011 jelas memperlihatkan beberapa perubahan dalam susunan pengurusan KRT Taman Utama apabila En. Mohd Noor b. Harun meletakkan jawatan sebagai Pengerusi kerana kekangan waktu dan kerja-kerja beliau di Syarikat Usima Group. Tempat beliau telah diganti oleh blogger sendiri manakala muka baru, En. Mohd Sharipudin b. Abu Kassim, seorang kakitangan di Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah dilantik sebagai Setiausaha yang baru yang dibantu oleh En. Shaharudin b. Saad sebagai Penolong Setiausaha yang membuat kemunculan semula dalam barisan AJK setelah mengundurkan diri selama 4 tahun.
Begitu juga dengan pengunduran Hajah Pn. Rokiah bt. Haji Ab. Hamid selaku Bendahari yang kemudiannya diisi oleh En. Mohd. Nasser b. Mat Akhir. Namun begitu, disebabkan kenaikan pangkat ditempat kerjanya yang membuatkan beliau terpaksa memantau urusan kerjanya di Alor Setar dan Sungai Petani, beliau akhirnya terpaksa mengundur diri dan digantikan pula oleh Pn. Noor Hashimah bt. Yusoff sebagai Bendahari yang baru.
Impak yang penting dalam struktur pengurusan ialah apabila Ustazah Rogayah bt. Ramli dilantik sebagai Setiausaha Jiran Wanita. Pelantikan beliau telah menjanakan lagi aktiviti Jiran Wanita dengan pelbagai aktiviti yang dikendalikan oleh beliau yang melibatkan penglibatan golongan wanita dari kalangan dewasa, remaja dan kanak-kanak terutama yang berkaitan aspek kerohanian.
Bagi tahun 2012 ini, InsyaAllah, jika tiada aral mendatang, kelas KAFA untuk Tunas Jiran dan Jiran Muda akan dimulakan pada bulan Februari 2012 sebagai aktiviti pertama untuk tahun ini sementara menunggu geran kewangan tahunan bagi tahun 2012 disalurkan oleh JPNIN Negeri Kedah.
Berikut disenaraikan aktiviti yang telah berjaya diadakan oleh KRT Taman Utama sepanjang 2011.
Pengerusi dan Bendahari KRT Taman Utama menyertai Seminar Pemantapan Profesionalisme Nilai-nilai Murni Dalam Gagasan 1 Malaysia di INFRA, Bangi pada 18 - 20 Oktober 2011.
Menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2011 Peringkat Negeri Kedah pada 26 Februari 2011 di Dewan Orang Ramai Bandar Muadzam Shah.
En. Ahmad Azly b. Ahmad Ibrahim, AJK KRT Taman Utama mewakili JPNIN Negeri Kedah menyertai kejohanan Golf Amal Perpaduan 1 Malaysia di UKM Bangi pada 23 - 24 Julai 2011.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan
sila tinggalkan ulasan dan pandangan anda disini.