Bulat air kerana pembentungnya, bulat manusia kerana muafakatnya. Itulah pegangan atau prinsip yang cuba diketengahkan dalam program Asyura untuk tahun 1433H ini.
Alhamdulillah pada Muharram 1433H ini, KRT Taman Utama yang bergandingan dengan Pakatan Kebajikan & Kemasyarakatan Taman Utama sekali lagi telah berjaya mengadakan aktiviti mengacau bubur Asyura.
Sebanyak RM 1145.00 telah berjaya diperolehi hasil sumbangan daripada penduduk Taman Utama. ( Lebihan wang ini akan digunakan untuk program pada bulan Januari 2012 ). Selain daripada wang ringgit, terdapat juga dikalangan penduduk yang menyumbangkan bahan Asyura seperti pisang, gula dan sebagainya. Manakala Pn. Sharifah Nab-iee bt. Syed Abdyllah Idid telah sudi menaja makanan tengahari pada hari tersebut yang diadakan pada hari Sabtu, 10 Disember 2011 bertempat di Pusat Rukun Tetangga Taman Utama.
Program telah bermula seawal petang Jumaat, 9.12.2011 lagi apabila kerja-kerja membersih peralatan dan mengupas bahan asas Asyura seperti jagung, kacang, ubi dan sebagainya dilakukan, yang berlarutan hingga ke pukul 11.30 malam.
Untuk sarapan pagi, para penduduk telah disajikan dengan sajian pulut kukus yang dimakan bersama kelapa parut dan ikan kering serta kopi O. Manakala sajian tengahari pula adalah nasi ala kampung.
Seperti kebiasaan, sebanyak 2 buah periuk besar telah digunakan untuk memasak Asyura tahun ini, cuma sedikit kelainan pada tahun ini ialah salah satu daripada periuk tersebut telah ditambah dengan 6 biji durian bagi menambah aroma dan perisa durian dalam Asyura tersebut. Hasilnya memang meletup dan disukai ramai.
Pada pengamatan blogger, tidak ramai yang menyertai program pada kali ini, dianggarkan hanya seramai 50 orang keluarga sahaja yang hadir. Mungkin kerana musim kenduri perkahwinan, mungkin penduduk balik kampung atau melancung kerana musim cuti sekolah dan mungkin terdapat juga yang pergi ke LIMA yang pada ketika ini sedang rancak diadakan di Langkawi.
tahniah KRT Taman Utama, itulah erti Perpaduan, bersama tangani jenayah dan berpadu tenaga dalam sesuatu hal dan majlis, Tahniah
BalasPadamdari:
Pengurusi KRT
Kampong Tepi Alor/Taman Mutiara Naga