TIDAK SEMUA INSAN INGINKAN HIDUP DALAM KEMISKINAN, DAN TIDAK SEMUA INSAN DIBERIKAN KEKAYAAN .......
Ramadhan 1432H telah melakar satu lagi episod baru untuk KRT Taman Utama. Buat julong kalinya KRT Taman Utama menyertai NGO Warga Kilang menjelajah ke kawasan pendalaman Daerah Sik bagi memberi bantuan kemanusiaan kepada golongan yang kurang berkemampuan dalam meniti ranjau hidup seharian. Dalam Islam, percaya kepada qada' dan takdir merupakan salah satu rukunnya yang wajib dipegang. Takdir telah menentukan terdapat segelintir manusia yang hidup dalam kemiskinan kerana musibah yang menimpa.
Pada hari Sabtu, 20 Ogos 2011, KRT Taman Utama telah menyertai NGO Warga Kilang yang dianggotai oleh kakitangan yang berkerja di kilang-kilang yang terdapat di utara tanah air seperti di Kulim, Ipoh, Pulau Pinang dan lain-lain lagi menjelajah ke kawasan Belantik, Gulau, Nami dan Beris bagi menyumbang bahan keperluan harian kepada golongan asnaf yang terdapat di kawasan tersebut. Sekurang-kurangnya sumbangan ini dapat meringankan beban hidup mereka apatah lagi disaat-saat menjelang Hari Raya Aidil Fitri yang bakal menjelma pada 30 Ogos nanti.
KRT Taman Utama telah menyumbang pakaian yang diberikan oleh penduduk Taman Utama dan kakitangan Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah serta sumbangan zakat perniagaan, zakat barang emas, zakat fitrah dan fidyah oleh beberapa orang AJK KRT Taman Utama dan kakitangan Perpustakaan Awam Kedah.
KRT Taman Utama telah diketuai oleh blogger dan 7 orang lagi AJK dan Peronda SRS menyertai ekspedesi ini. Kami bertolak pada jam 6.30 pagi dari Pusat Rukun Tetangga dengan menaiki 2 buah kenderaan dan tiba di check point pertama di Plaza Tol Gurun. Daripada sini kami kemudiannya menyertai 55 buah lagi kenderaan daripada Pulau Pinang, Perak, Perlis dan Kuala Lumpur bergerak ke check point ke dua di IKS Jeniang dan terus ke check point ke tiga di Masjid Lubuk Merbau.
Di Masjid Lubuk Merbau semua peserta berkumpul memunggah bahan sumbangan yang dibawa seperti beras, gula, makanan, kuih dan sebagainya dan diagihkan untuk 41 buah keluarga yang dikategorikan sebagai golongan asnaf. Selepas sessi taklimat dan bacaan doa, kesemua peserta kemudiannya bertolak ke destinasi yang telah dikenalpasti bagi menyampaikan barangan yang terkumpul.
Begitu mengujakan sekali buat pertama kali menyertai aktiviti seperti ini. Rasa letih, penat dan mengantuk yang sering dialami apabila bulan puasa, hilang begitu sahaja. Teruja sekali bila dapat bertemu dan bertukar-tukar fikiran dengan peserta yang menyertai dan terkesima apabila berjumpa golongan asnaf tersebut.
Terima kasih kepada para penyumbang kepada golongan asnaf ini melalui KRT Taman Utama dan terima kasih kepada koordinator daripada Warga Kilang yang sudi menerima kami menyertai aktiviti ini.
InsyaAllah, jika ada kesempatan terluang, pihak KRT Taman Utama akan menyertai lagi aktiviti seumpama ini dimasa akan datang.
"Apabila mati anak Adam itu, maka terputuslah amalannya kecuali 3 perkara, iaitu ilmunya yang bermanafaat, sedekah jariah dan doa dari anak yang soleh"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
sila tinggalkan ulasan dan pandangan anda disini.